KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mempercepatkan proses vaksinasi ke atas semua petugas media di seluruh negara yang jumlahnya dianggarkan 5,875 orang daripada 144 agensi.
Ini berikutan setelah masuk minggu kedua Jun namun tiada sebarang petanda petugas media bakal mendapat vaksin Covid-19 walaupun ia telah dirancang lebih awal.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, media merupakan barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.
Justeru, katanya, kerajaan harus mempermudahkan urusan mereka untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Kelihatan seperti segala penat lelah, risiko yang diambil dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli.
“Pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19.
“Mereka juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan sektor lain, petugas media terpaksa keluar setiap hari untuk mengambil visual dengan niat menabur bakti bagi negara menangani Covid-19 sekali gus mencapai imuniti berkelompok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 25 Mei lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, 5,876 petugas media daripada 144 agensi berdaftar di seluruh negara bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.
Sebulan sebelum itu, Khairy Jamaluddin menyatakan 1,500 petugas media menganggotai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) serta Persatuan Wartawan Sarawak dan Sabah bakal menerima vaksin Covid-19 pada Mei.
Pun begitu, Ulya Aqamah berkata, sehingga hari ini selepas fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula, Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah gagal menepati janji.
“Peliknya, pelbagai program kerajaan berterapkan usaha menangani Covid-19 dianjurkan yang memerlukan kehadiran pengamal media untuk liputan dan rata-ratanya memerlukan kehadiran secara fizikal,” katanya. – UTUSAN ONLINE