PETALING JAYA : Meskipun berpeluang cerah menunaikan haji tahun ini, seorang pelajar Malaysia di Arab Saudi masih berharap mendapat panggilan kedua bagi menunaikan ibadah itu memandangkan kerajaan negara berkenaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan syarat yang sangat ketat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Universiti Umm Al-Qura, Nur Muhammad Anas Mohd Razak, kekangan lain menjadi punca masalah utama khususnya di dalam kalangan para pelajar apabila perlu membayar kos sekitar RM14,000 hingga RM19,000 iaitu bergantung kepada pakej ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah.
Beliau juga memaklumkan hanya mereka berumur 65 tahun ke bawah dan tidak pernah menunaikan haji dibenarkan melaksanakan ibadah itu pada tahun ini dengan permohonan secara terus menerusi laman web ditetapkan kerajaan Arab Saudi bermula hari ini sehingga 24 Jun.
“Ini tidak bermakna mereka memohon diberikan ruang melaksanakan haji, hal ini kerana Kementerian Haji dan Umrah akan melakukan tapisan dan keputusannya diumumkan pada 26 Jun. Saringan akan mengambil kira kelayakan umur dan melihat sama ada pemohon pernah tunai haji atau tidak.
“Selepas itu, mereka kemudian perlu pilih tiga pakej ditetapkan iaitu paling murah iaitu 12,000 Riyal (RM14,000), kedua pula berjumlah 14,000 riyal (RM15,000) dan paling mahal sekali 16,000 Riyal (RM19,000). Perbezaan setiap pakej bergantung kepada jenis penginapan dan lain-lain,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memutuskan ibadat haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warga Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.
Malaysia justeru itu menetapkan tidak akan menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H sebagai akur serta menghormati keputusan Kerajaan Arab Saudi itu.
Dalam pada itu, Nur Muhammad Anas yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia Mekah berkata, sudah menjadi cita-cita pelajar Malaysia di Mekah untuk menunaikan haji sebab telah berada dalam bandar tanah suci, namun harganya yang mahal menyebabkan mereka perlu fikir banyak kali.
“Bagi pelajar lain termasuk saya sendiri yang pernah tunai haji, kemungkinan peluang kami sukar, tetapi masih mengharapkan dapat panggilan sekali lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menafikan khabar angin tersebar yang mengatakan upah badal haji dikenakan oleh pelajar Malaysia serendah RM1,500 memandangkan kos haji meningkat iaitu kini mencecah RM20,000.
“Saya bagi pihak persatuan menafikan dakwaan itu dan menasihati orang ramai supaya mendapatkan kepastian terlebih dahulu serta maklumat yang jelas mengenai badal haji yang ingin diwakilkan kepada mana-mana pihak sebelum membuat sebarang pembayaran,” ujarnya.
Beliau memaklumkan terdapat 35 pelajar Malaysia di Mekah dengan 17 daripadanya merupakan mahasiswa Universiti Umm Al Qura, 12 di Universiti King Abdulaziz dan enam di Universiti Taif. -UTUSAN ONLINE