MELAKA: Polis mengeluarkan 24 kompaun dengan tujuh daripadanya membabitkan kesalahan pelitup muka sepanjang pelaksanaan hari pertama sekatan pergerakan penuh, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya amat kesal kerana masih terdapat kompaun yang terpaksa dikeluarkan pihak polis atas kesalahan pelitup muka.
Katanya, senario itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara sudah lebih setahun bergelut dengan pandemik Covid-19.
“Sepanjang hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, sebanyak 24 kompaun telah dikeluarkan dengan tujuh daripadanya membabitkan kesalahan pelitup muka.
“Ini yang kita amat ralat, setelah setahun negara berdepan pandemik Covid-19, masih ada orang yang tidak pakai pelitup muka,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Tambahnya, kesalahan itu dilakukan Individu-individu terlibat ketika berada di tempat awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, baki kompaun yang dikeluarkan adalah melibatkan pelbagai kesalahan lain yang dikesan ketika sekatan jalan raya (SJR) termasuk keluar rumah tanpa alasan munasabah.
“Sebanyak 48 buah kenderaan turut diarahkan berpatah balik selepas memberikan alasan tidak munasabah termasuk ingin menziarahi saudara-mara ketika pemeriksaan dilakukan di SJR.
“Tujuh daripada mereka juga dikompaun selepas didapati keluar rumah bagi melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa mengambil maklum prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung sebarang pergerakan yang ingin dilakukan.
Jelasnya, ia termasuklah kesalahan popular dilakukan oleh orang ramai iaitu membeli barangan keperluan sehingga bergerak keluar melebihi radius 10 kilometer dari tempat tinggal seperti yang dibenarkan. -UTUSAN ONLINE