ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 450 kilogram (kg) daun ketum yang ditinggalkan di pesisir pantai Kuala Sanglang dekat sini, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua daun ketum yang dianggarkan bernilai RM81,000 itu ditemukan kira-kira pukul 6.15 pagi.
“Pihak kami menerima maklumat risikan mengenai usaha penyeludupan itu dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak untuk membuat tinjauan.
“Sampai ke lokasi tersebut. pihak kami menemukan sebuah bot bertambat dipercayai milik penyeludup. Pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya menemukan 45 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dipercayai baru dipetik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, daun-daun ketum itu dipercayai hanya menunggu masa untuk diambil sebelum diseludup ke Thailand.
“Kesemua bungkusan itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Kuala Kedah di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.
“Harga pasaran daun ketum mencecah RM180 sekilogram berbanding RM40 di pasaran tempatan. Nilai pasaran yang tinggi di negara jiran dilihat menjadi perhatian penyeludup untuk mencuba pelbagai helah bagi berbuat demikian,” katanya.
Tambahnya, rampasan tersebut merupakan yang kelima melibatkan daun ketum bagi Zon Maritim Kuala Kedah, tahun ini. -UTUSAN ONLINE