SHAH ALAM- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menahan 28,737 kilogram pokok jenis red oak lumber yang cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang Utara, kelmarin.
Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim berkata, penahanan tersebut berjaya dibuat ketika membuat pemeriksaan rutin di pelabuhan terbabit pada pukul 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati pokok tersebut adalah dari Amerika Syarikat, dengan anggaran bernilai RM 88,285.61.
“Ia dipercayai ditempah oleh sebuah kilang yang menghasilkan pintu dan reels di Banting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kayu berkenaan ditahan kerana tidak menyatakan rawatan di dalam sijl fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan.
Kata Zamri, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini kali pertama kilang tersebut membuat kesalahan dengan MAQIS.
“Kita akan terus mengetatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE