Maqis rampas ikan tilapia, kerisi bernilai RM4,890 - Utusan Malaysia

Maqis rampas ikan tilapia, kerisi bernilai RM4,890

LORI membawa ikan tilapia dan kerisi yang melebihi kuantiti ditahan Maqis Johor hasil pemeriksaan di KSAB, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ikan tilapia dan kerisi melebihi kuantiti dipohon pengeksport di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini awal pagi ini.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, perkara itu dikesan pihaknya semasa sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan eksport pada pukul 1 pagi.

Jelasnya, ikan tilapia dan ikan kerisi bernilai RM4,890 itu sedang dalam perjalanan untuk dieksport ke Singapura.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, sejumlah 170 kilogram (kg) ikan tilapia dan 117 kg ikan kerisi telah dirampas atas kesalahan membawa muatan ikan melebihi kuantiti yang telah diikrar di dalam permit.

“Pemeriksaan mendapati pengeksport bertindak cuba menyorokkan kuantiti sebenar ikan yang dibawa dengan mencampurkan dengan kuantiti ikan yang telah diikrar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Hizzuan, pemandu lori berusia 46 tahun telah diambil keterangan untuk membantu siasatan dijalankan.

“Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengimport dan pengeksport agar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya