PUTRAJAYA: Mana-mana penumpang yang terlibat dalam insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara bulan lalu berhak menyaman operator rel tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia sejajar dengan prinsip demokrasi diamalkan negara ini untuk pihak tidak berpuas hati membawa kes itu kepada mahkamah.
“Mereka ada hak buat tuntutan, kerajaan tidak ‘lari,’ malah, pihak Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) kena sedia berdepan saman kerana kita menghormati undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini bagi memaklumkan laporan Jawatankuasa Siasatan mengenai nahas itu yang sudah diserahkan kepada Kabinet.
Panel jawatan kuasa tersebut dibentuk sehari selepas kejadian pertembungan dua tren LRT pada 24 Mei lalu yang mengakibatkan 47 penumpang parah manakala 116 lagi cedera ringan.
Mengulas lanjut, Ka Siong turut mengesahkan kesemua mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah pun dipindahkan ke wad biasa.
“Kita berasa amat lega dan berterima kasih kepada pihak HKL kerana mereka mendapat layanan jagaan terbaik daripada pakar yang bertungkus lumus merawat mangsa,” jelas beliau.
Susulan insiden yang julung kali berlaku dalam sejarah LRT sejak beroperasi pada 1998 lalu, beliau turut meminta agar tiang tegak di dalam tren berkenaan sepatutnya perlu dimansuhkan.
Ia ujarnya berdasarkan laporan perubatan HKL yang menunjukkan mangsa parah disebabkan terlanggar kuat struktur keluli itu apabila tren perlu berhenti secara mengejut tanpa dijangka.
Begitu juga tambah Ka Siong, pemasangan sistem pengesanan elektronik yang pada ketika ini hanya terdapat di Transit Aliran Massa (MRT) dan sepatutnya LRT turut dilengkapi alat itu.
“Ini membolehkan tren akan terus berhenti secara automatik apabila ia mengesan ada tren di depannya dari jarak jauh lagi sekali gus elak risiko nahas perlanggaran berulang,” tegasnya.
Butang kecemasan, kata beliau, wajar diperkenalkan untuk memudahkan Pusat Kawalan Operasi Rapid Rail Sdn. Bhd. membuat pengawalan ketika tren berada dalam situasi kritikal.
Justeru, beliau melihat sudah tiba masa Agensi Pengangkutan Awam Darat memperkasakan aspek penguatkuasaan dengan menambah perjawatan dan program peningkatan kompetensi.
Inisiatif itu antara 23 cadangan penambahbaikan disarankan oleh Jawatankuasa Siasatan termasuk tujuh berbentuk jangka panjang yang perlu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.
Kementerian Pengangkutan ujar Ka Siong akan bekerjasama dengan Prasarana dan semua penyedia pengangkutan awam lain demi memastikan keselamatan pengguna dan kakitangan.-UTUSAN ONLINE