Mampan bantu operasi pemberian vaksin - Utusan Malaysia

Mampan bantu operasi pemberian vaksin

SUKARELAWAN Mampan membantu penerima terdiri daripada warga emas melancarkan proses pemberian vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Balok, Kuantan, Pahang. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 70 ahli Majlis Mahasiswa Anak Pahang (Mampan) menjadi sukarelawan di 11 buah klinik kesihatan di negeri ini khususnya di sekitar daerah ini bagi membantu petugas barisan hadapan dalam operasi vaksinasi Covid-19. 

Yang Dipertua Mampan, Syed Amirul Rosyid Sy Mohd. Sukri berkata, usaha itu diyakini mampu menjayakan aspirasi kerajaan negeri dalam usaha pemberian vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Pahang. 

Menurutnya, Mampan telah bekerjasama dengan Majlis Tindak Sosial Pahang (MTSP) bagi melaksanakan kerja-kerja sukarelawan berkenaan. 

“Program Sukarelawan Vaksinasi ini adalah antara pendekatan kami untuk bersama masyarakat di samping membantu petugas barisan hadapan menguruskan proses pemberian vaksin. 

“Seperti yang kita sedia maklum, petugas barisan hadapan menjalankan tanggungjawab penuh komited sejak tahun lalu dan ramai daripadanya tidak mendapat rehat secukupnya sejak wabak ini melanda negara. 

“Jadi, melalui program ini dan bantuan daripada sukarelawan kita… dapat juga meringankan sedikit bebanan mereka dan sekurang-kurangnya mampu melancarkan lagi proses pendaftaran (penerima vaksin),” katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Kesihatan Balok dekat sini hari ini. 

Program yang bermula hari ini dan dijangka tamat perkhidmatan sukarelawan sekitar Ogos depan melibatkan mahasiswa daripada institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Syed Amirul berkata, seramai 10 sukarelawan Mampan ditempatkan di klinik kesihatan Balok dan bakinya ditugaskan di 10 lagi klinik kesihatan dalam daerah ini. 

“Selain membantu menguruskan proses pendaftaran, kami juga membantu memudahkan pergerakan warga emas yang memerlukan perkhidmatan kerusi roda dan  memberi penerangan ringkas tentang kepentingan vaksin dalam mengawal penularan wabak ini.

“Dalam pada itu juga, kami ada membuat perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memperluaskan khidmat sukarelawan ini jika diperlukan ke daerah lain seluruh Pahang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Klinik Kesihatan Balok, Dr. Norhayaty Sharman Khamise Roslee yang ditemui berkata, kehadiran sukarelawan membantu ketika proses pemberian vaksin di klinik kesihatan disambut baik dan dialu-alukan.

“Kalau hendak dikira, memang kita kekurangan petugas dan kehadiran sukarelawan ini memang sangat melegakan pihak kami. 

“Kita semua sudah bertugas sepanjang minggu dan hujung minggu pula kita perlu selesaikan urusan vaksinasi Covid-19, jadi memang ramai kakitangan yang tidak dapat berehat atau mengambil cuti. 

“Sukarelawan ini semuanya belia dan masih muda… tenaga masih banyak dan bolehlah bantu meringankan sedikit kerja kami, terutamanya bab mengisi borang, mengiringi mereka dan memberi penerangan berkaitan vaksin,” katanya. 

Beliau berkata, seramai kira-kira 600 penerima vaksin dijadualkan hadir ke klinik kesihatan itu pada hujung minggu dan bantuan sukarelawan sangat diperlukan, terutamanya membabitkan proses pendaftaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya