PETALING JAYA: Keyakinan syarikat luar terhadap kerajaan Malaysia terbukti apabila Austria Technologie & Systemtechnic (AT&S) yang merupakan pengeluar utama dunia bagi produk papan litar bercetak mewah (PCB) dan litar bersepadu (IC) substrat membawa masuk pelaburan bernilai RM8.5 bilion dan menjana 5,000 peluang pekerjaan ke negara ini.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Biro Ekonomi Armada Malaysia, Ahmad Sobree Abas berkata pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Azmin Ali terbukti gandingan yang mampu menerajui ekonomi Malaysia.
“Syarikat AT&S berminat untuk melabur di Malaysia melalui skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang ditawarkan oleh kerajaan pada tahun ini yang dijangka bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.
“Dengan pelaburan bernilai RM8.5 bilion, ia bukan sesuatu yang biasa kerana ketika dunia menghadapi wabak Covid-19, Syarikat AT&S begitu yakin untuk melabur di Malaysia. Ini menunjukan sesuatu yang baik apabila mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka, katanya menerusi kenyataan tersebut.
Ahmad Sobree positif dengan adanya pelaburan itu akan ada lebih ramai lagi syarikat yang mahu menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan mereka kelak.
“Kerjaya dalam dunia semikonduktor ini dianggap sebagai wira yang tidak didendang iaitu tanpa mereka sudah tentu teknologi yang dicipta tidak dapat dilaksanakan dan diguna pakai.
“Ini menunjukan Perdana Menteri dan Menteri Kanan MITI amat peka dan berpandangan luas mengenai isu-isu pelaburan semasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.