Malaysia gembira PBB lulus resolusi tuntut penyelesaian krisis politik Myanmar - Utusan Malaysia

Malaysia gembira PBB lulus resolusi tuntut penyelesaian krisis politik Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi mengenai situasi di Myanmar yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) lewat semalam.

Menerusi kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, Malaysia turut menyokong usul itu yang menyeru pihak terlibat agar mencari jalan konstruktif bagi penyelesaian damai di Myanmar.

“Resolusi ini menggesa keganasan dihentikan serta-merta dan pembebasan segera tokoh politik ditahan junta tentera Myanmar sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu,” katanya.

Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat, semalam meluluskan resolusi tajaan 60 negara itu apabila meraih sokongan 119 negara dengan satu menolak iaitu Belarus.

Bagaimanapun, Presiden Ke-75 perhimpunan itu, Volkan Bozkir dari Turki memaklumkan, 36 negara lagi berkecuali, termasuk China, sekutu Myanmar, selain Rusia, Iran dan Mesir.

Malah resolusi itu turut menyaksikan ASEAN, blok politik rantau Asia Tenggara berpecah dua apabila Brunei, Kemboja, Laos dan Thailand bertindak neutral terhadap resolusi berkenaan.

Namun, pengundian itu melakar sejarah kerana Perhimpunan Agung PBB selama ini amat jarang membuat resolusi mengutuk kudeta pihak tentera menggulingkan kerajaan demokrasi.

Lebih unik, Duta Myanmar ke PBB, Kyaw Moe Tun yang sebelum itu dipecat kerana enggan menerima rampasan kuasa junta, tampil membuat kejutan menyokong usul khas tersebut.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, resolusi ini membuka laluan solusi penamatan krisis dan ruang dialog bersifat kondusif dan inklusif yang mengakhiri krisis domestik negara itu.

“Usul ini menerima pelan lima perkara konsensus dicapai ketika Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April lalu dan keperluan mendesak kerjasama semua pihak di Myanmar,” katanya.

Inisiatif itu ujar Kementerian Luar, termasuk penglibatan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dengan semua kumpulan yang berkepentingan bagi segera menamatkan konflik.

Malaysia menegaskan sokongan ke atas resolusi itu berdasarkan matlamat menghentikan tindakan mengganggu gugat kestabilan dan membawa kembali kesan positif di Myanmar.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Pada masa sama, Malaysia sedia bekerjasama secara membina dengan komuniti sejagat dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi mapan di Myanmar dapat dipulih semula.

 

Resolusi yang dicapai Perhimpunan Agung PBB itu kebetulan diluluskan sehari sebelum ulang tahun kelahiran ke-76 bekas kaunselor Myanmar digulingkan junta, Aung San Suu Kyi.

 

Krisis kudeta itu juga menyaksikan Presiden Myanmar ke-10 dipilih secara demokratik, Win Myint ditumbangkan pihak tentera Tatmadaw yang dipimpin oleh Jeneral Min Aung Hlaing.

 

 

 

TAMAT

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya