Malaysia diiktiraf 10 negara terbaik keselamatan siber - Utusan Malaysia

Malaysia diiktiraf 10 negara terbaik keselamatan siber

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menerima pengiktirafan dengan menempa nama di antara 10 negara teratas yang mempunyai komitmen tinggi dalam bidang keselamatan siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pengiktirafan itu menerusi laporan Global Cybersecurity Index 2020, hasil kajian yang dilaksanakan oleh International Telecommunications Union (ITU) di 194 negara seluruh dunia.

Beliau berkata, kebolehupayaan Malaysia untuk menduduki tempat teratas dunia adalah melalui skor penuh melibatkan tiga komponen iaitu Perundangan, Pembangunan Kapasiti dan Kerjasama.

Katanya lagi, Malaysia beroleh skor sebanyak 98.06 sekali gus meletakkan negara pada kedudukan kelima bersama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu di peringkat global.

“Di peringkat Asia Pasifik pula, Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas Republik Korea dan Singapura yang berkongsi skor sama.

“Pencapaian ini lebih baik berbanding tahun 2018, di mana negara berada pada kedudukan kelapan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya lagi, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan, iltizam, serta kesediaan kerajaan dalam menyediakan khidmat kepakaran, advokasi dan kesiapsiagaan dalam bidang keselamatan siber.

Saifuddin berkata, skor Malaysia adalah berdasarkan kepada lima petunjuk prestasi utama agenda keselamatan siber 2020 ITU iaitu Perundangan (20.00), Teknikal (19.08), Organisasi (18.98), Pembangunan Kapasiti (20.00) dan Kerjasama (20.00).

“Dalam aspek pembangunan kapasiti, Malaysia menyediakan program-program latihan kemahiran teknikal dan kompetensi serta persijilan profesional melibatkan domain keselamatan siber.

“Menerusi Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global (Global ACE Certification Scheme) serta kolaborasi bersama sektor awam, swasta, industri dan juga institusi pengajian tinggi, Malaysia berupaya untuk menghasilkan golongan profesional keselamatan siber bukan sahaja di dalam, malah di luar negara,” ujarnya.

Tambah Saifuddin, Malaysia juga aktif dalam mengukuhkan kerjasama menentang keganasan siber di peringkat global melalui pelbagai platform antarabangsa.

“Jalinan kerjasama turut dimeterai bersama rakan serantau ASEAN seperti Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Cambodia, Thailand dan Vietnam serta United Kingdom, Korea, Itali dan juga Australia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya