Malaysia beri kelulusan pendaftaran bersyarat Vaksin AstraZeneca dari pengilang kedua di Thailand - Utusan Malaysia

Malaysia beri kelulusan pendaftaran bersyarat Vaksin AstraZeneca dari pengilang kedua di Thailand

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Produk vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca daripada pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co., Ltd, Thailand diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-358 yang bersidang hari ini.

Menurut beliau, pengilang kedua ini merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Sebelum ini, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Netherlands pada 2 Mac lalu yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin AstraZeneca ke negara-negara Eropah.

“Sebagai makluman, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX yang mula diterima pada April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas.

Kata beliau, kelulusan pendaftaran secara bersyarat itu memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn. Bhd., mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

Katanya, ini bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif.

“Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya