PUTRAJAYA: Pemeriksaan melibatkan sektor industri diperhebatkan bagi memburu majikan yang membuat pengisytiharan kebenaran kerja palsu dan mengelirukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha itu susulan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja dalam kalangan kilang dan premis perniagaan.
Kata beliau, pihaknya memandang serius tindakan majikan yang beroperasi secara salah dengan memberi maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Sebelum ini, apabila pemeriksaan dilakukan pasukan penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) didapati majikan yang tidak bertanggungjawab mempunyai borang kebenaran beroperasi mengelirukan, malah banyak kekhilafan berlaku melibatkan pemeriksaan sebelum ini.
“Seperti semalam, satu kilang dikompaun kerana mengisytihar sebagai kilang pembuatan tetapi sebenarnya ia adalah kilang pengedaran. Maka, kita sudah putuskan dalam mesyuarat tadi, bahawa penguatkuasaan ke atas sektor industri sekali gus melandaikan kes positif sektor berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Mengulas mengenai operasi sejak Isnin lalu, Hamzah berkata, sebanyak 63 kilang dan premis diarah tutup selepas 48,770 premis iaitu 7,387 kilang dan 41,383 premis perniagaan diperiksa.
“Susulan pemeriksaan empat hari katanya, seramai 21 orang ditangkap manakala 201 kompaun ke atas majikan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Dalam pemeriksaan harian pula sejak 1 Jun sehingga semalam, hampir 95,000 pemeriksaan dengan 14,539 kompaun dan 767 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan SOP,” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan Hamzah memberi amaran bahawa setiap majikan perindustrian yang melanggar SOP dalam tempoh PKP sehingga 28 Jun ini akan dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun.
“Kepada semua majikan, tidak ada kemaafan lagi, hari ini (semalam) adalah hari terakhir dan saya mahu semua majikan jika anda rasa bersalah ingkar operasi, tutup segera aktiviti anda,” katanya. – UTUSAN ONLINE