Mahu cuba seludup keluar daging beku ke Thailand - Utusan Malaysia

Mahu cuba seludup keluar daging beku ke Thailand

SEBAHAGIAN daging beku yang mahu diseludup ke negara jiran dirampas PGA dalam serbuan di pangkalan haram Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan baru-baru ini. FOTO : Ihsan PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Cubaan dua lelaki tempatan yang cuba menyeludup 103 kotak daging beku bernilai RM57,680 ke Thailand menggunakan laluan tidak sah gagal selepas dicekup anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di pangkalan haram Nibong, Pengkalan Kubor, di sini  baru-baru ini.

Dua suspek berusia 44 dan 55 tahun ini dicekup pada pukul 3 petang semasa anggota PGA sedang melakukan rondaan rutin menggunakan motosikal di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas dua kotak limpa lembu yang dianggarkan berjumlah RM1,280.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM148,960.

“Semasa anggota PGA membuat tinjauan di lokasi kejadian, pihaknya telah mendapati dua lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota PGA telah menghampiri kenderaan tersebut dan menahan kedua-dua lelaki tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai beberapa kotak yang mengandungi barang daging beku dan limpa lembu disyaki mahu diseludup ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini .

Azhari memberitahu, kedua-dua suspek dan barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“PGA Batalion 7 akan terus memperketatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam usaha mencegah perlakuan jenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya