PETALING JAYA: UMNO menyatakan pendirian selari dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pertemuan pada hari terakhir antara pemimpin politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Gerakan Negara (Mageran) tidak perlu ditubuhkan sebagai satu penyelesaian menyeluruh kepada krisis yang berlaku pada masa kini.
Malah katanya, parti itu tidak membawa usul atau membincangkan isu penubuhan Mageran dalam pertemuan dengan Al Sultan Abdullah dan berpendirian pengisytiharan darurat sehingga Ogos memadai bagi menangani segala krisis pada masa kini.
“Kita tidak bincangkan soal (Mageran) itu. Saya rasa perkara itu adalah sesuatu keadaan norma di luar daripada apa yang sedia ada.
“Ini kerana pelaksanaan darurat kita mendapati mencukupi dalam soal-soal ini (krisis), namun ia digunakan untuk mencapai tujuan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara di sini hari ini.
Ahmad Zahid antara pemimpin parti politik yang dijemput hadir ke Istana Negara sebelum ini. Selain beliau, pemimpin lain yang dijangka menghadap Seri Paduka adalah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) , Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada tahun 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis yang melanda negara ketika menghadap Al-Sultan Abdullah.
Episod menghadap Agong melibatkan ketua-ketua parti politik berakhir hari ini selepas tiga hari bermula Rabu lalu.
Presiden PBS, Maximus menjadi wakil pemimpin parti terakhir selesai sesi menghadap secara fizikal iaitu pada pukul 3.20 petang.
Parti terakhir dijadualkan sembah menghadap adalah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bakal dijalankan pada Isnin depan secara persidangan video.
Seramai 11 pemimpin parti selesai menghadap Al-Sultan Abdullah bermula Rabu lalu dengan dimulakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Turut menyusul Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, antara perbincangan lain dalam pertemuan itu adalah pendirian UMNO terhadap pelaksanaan darurat yang tidak perlu disambung selepas ini.
“UMNO bawa suara rakyat yang gelisah sehingga jejaskan mata pencarian ekonomi mereka.UMNO berpendirian Parlimen wajar bersidang untuk mempertahankan sistem demokrasi serta mewujudkan elemen semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan pentadbiran negara.
” Parlimen penting untuk suarakan hak rakyat seperti tuntutan moratorium dan pelbagai bantuan lain melibatkan semua golongan,” jelasnya.
Difahamkan, semua pemimpin mendedahkan sesi sembah menghadap berkisar berkenaan pembukaan semula sesi persidangan Parlimen, penamatan darurat dan isu kegagalan kerajaan menangani penularan Covid-19. -UTUSAN ONLINE