Line Clear pun sudah terhimpit - Utusan Malaysia

Line Clear pun sudah terhimpit

RESTORAN popular nasi kandar Line Clear di Jalan Penang, Georgetown, Pulau Pinang yang dulu meriah dan sibuk dengan pelanggan kini lengang serta bergelut untuk terus bertahan disebabkan pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Meskipun memiliki jenama popular dan dikenali ramai, namun restoran nasi kandar terkenal di negeri ini turut bergelut untuk terus bertahan dan meneruskan perniagaan masing-masing.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketatkan yang akan disambung dua minggu lalu menambah tekanan buat mereka yang sudah sedia menanggung kerugian sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu.

Bagi pewaris restoran Nasi Kandar Line Clear, Jumah Bee Kalanda Mastan, 48, berkata, pendapatan restoran itu susut mendadak antara 70 hingga 80 peratus sejak pelaksanaan PKP 3.0 dan kini terpaksa bergantung dengan wang simpanan untuk meneruskan perniagaan.

Jelasnya, kemerosotan jualan itu lebih dirasai sejak PKP 3.0 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu dan dia kini bimbang memikirkan perlu menempuh dua minggu lagi tempoh PKP yang diperketatkan sehingga hujung bulan ini.

“Walaupun pendapatan merosot tetapi kami masih perlu membayar sewa tapak dengan penyewa dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang berjumlah kira-kira RM3,000 sebulan.

“Begitu juga dengan gaji pekerja seramai 14 orang kerana mereka juga mempunyai tanggungan walaupun sekarang mereka bekerja secara bergilir-gilir kerana tiada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Menurut Jumah Bee, perniagaan nasi kandar yang diusahakan keluarganya itu masih boleh bertahan sekiranya kerajaan membenarkan pelanggan makan di dalam kedai serta waktu operasi dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga pukul 12 tengah malam seperti ketika PKP sebelum ini.

“Dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya tidak menjadi masalah kerana kami sentiasa mematuhi arahan ditetapkan khususnya dalam amalan penjarakan fizikal.

“Saya juga berharap sekiranya dapat diberikan pengecualian bayaran sewa tapak perniagaan dan rebat bil air atau elektrik yang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kos kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus restoran NS Nasi Kandar, Saffir Ali, 34, berkata, dia kini juga meneruskan perniagaan dalam situasi menanggung kerugian besar lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan PKP 3.0.

Berbanding PKP sebelum ini jelasnya, perniagaannya masih mampu mencatat sedikit keuntungan kerana waktu operasi dibenarkan sehingga 12 tengah malam selain pelanggan turut dibenarkan makan di dalam restoran.

“Tetapi sejak PKP penuh dilaksanakan, hasil perniagaan susut mendadak dan saya menanggung kerugian apabila terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar gaji pekerja seramai 60 orang.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana nasib saya dan pekerja-pekerja ini apabila PKP 3.0 disambung dua minggu lagi yang pastinya akan menyebabkan kerugian kami berlipat kali ganda,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih memeritkan apabila dia masih perlu membayar sewa tiga buah cawangan kedai nasi kandarnya itu yang berjumlah hampir RM20,000 sebulan selepas tidak mendapat penangguhan daripada penyewa meskipun ada membuat permohonan.

“Sebab itu saya merayu kerajaan lanjutkan operasi perniagaan restoran sehingga pukul 12 tengah malam dan membantu kami mendapatkan penangguhan bayaran sewa premis,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya