BUTTERWORTH: Tindakan lima lelaki yang berkunjung ke gimnasium di sebalik larangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Jalan Bagan Luar, di sini semalam mengundang padah apabila mereka masing-masing dikompaun RM2,000.
Turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 ialah pemilik dan penjaga gimnasium itu selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 dengan membenarkan premis berkenaan beroperasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam pemeriksaan kira-kira pukul 5.40 petang itu, kompaun itu dikeluarkan kepada pemilik dan penjaga premis gimnasium itu yang berusia 58 tahun manakala pengunjung pula berusia 36 hingga 52 tahun.
“Ketika operasi, terdapat lima lelaki sedang menggunakan peralatan di dalam gym itu dan mereka didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
“Membuka atau berkunjung ke gimnasium yang tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu merupakan kesalahan sepanjang tempoh PKP 3.0 penuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas beliau, kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah PU(A) 265 Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Dalam pada itu, Noorzainy menyeru orang ramai supaya kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar bagi memastikan rantaian jangkitan virus Covid-19 dapat diputuskan. – UTUSAN ONLINE