Lima lelaki Indonesia guna dokumen palsu rentas negeri ditahan - Utusan Malaysia

Lima lelaki Indonesia guna dokumen palsu rentas negeri ditahan

A. ASMADI Abdul Aziz menunjukkan dokumen rentas negeri palsu yang dikesan dalam pemeriksaan ke atas sebuah bas persiaran di SJR Plaza Tol Ipoh Selatan pada sidang akhbar di IPD Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lima lelaki warga Indonesia ditahan kerana didapati mengemukakan dokumen rentas negeri palsu di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh-Selatan arah utara di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, kesemua lelaki itu membeli dokumen tersebut dengan harga RM30 daripada rakan mereka iaitu seorang lelaki warga Bangladesh di Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tangkapan itu dilakukan ketika pemeriksaan ke atas sebuah bas persiaran dari Johor Bahru pada pukul 11.45 malam.

Katanya, siasatan mendapati, kelima-lima lelaki itu bukan sahaja telah mengemukakan dokumen rentas negeri palsu, malah, mereka turut tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

“Mereka memberi alasan dalam perjalanan dari Sungai Rengit, Johor ke Kedah atas urusan kerja.

“Siasatan mendapati, borang itu dibeli dari rakan mereka yang merupakan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun. Tangkapan telah dilakukan ke atas suspek oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, kes disiasat mengikut Seksyen 22(d) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (borang notis) 1993 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 369 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kinta sejak 22 Mei lalu hingga semalam.

Katanya, sebanyak 333 kompaun dikeluarkan ke atas individu manakala 21 kompaun terhadap premis dan 15 kompaun pula ketika pemeriksaan di SJR.

“Dalam tempoh itu, terdapat penurunan kes jenayah sebanyak 24 peratus bagi perbandingan dua minggu sebelum PKPD dilaksanakan di Mukim Kinta.

“Penurunan itu kebanyakannya melibatkan kes jenayah curi kenderaan dan gaduh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya