JOHOR BAHRU: Lima individu termasuk wanita masing-masing dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dan tidak melakukan penjarakan fizikal ketika ditahan melepak di bawah flat di kawasan Pelangi Indah, di sini, hari ini.
Menerusi kenyataan di Facebook Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), kesemua yang dikenakan kompaun ketika operasi pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu berusia lingkungan 19 hingga 33 tahun.
Dalam operasi bermula 3.30 petang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah JBS, Superintenden Lim Jit Huey bersama Ketua Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV), Asisten Superintenden Tan Ting Chuan serta anggotanya sedang mengadakan ‘snap check’ di Jalan Harmonium, di sini.
“Dalam operasi itu, seramai 35 individu serta 33 buah kenderaan telah diperiksa dan kebanyakan pemandu yang diperiksa mematuhi SOP dalam kenderaan dengan tujuan untuk membeli barangan keperluan harian berhampiran kawasan tempat tinggal,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, polis akan terus melakukan operasi pemantauan dan pematuhan SOP sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 ini dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang melakukan kesalahan melanggar SOP.
Katanya, pemantauan juga mendapati pergerakan kenderaan di atas jalan raya pada hari kedua pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh semakin berkurangan. -UTUSAN ONLINE