PETALING JAYA : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi kelonggaran melibatkan pembayaran cukai dan penalti kepada individu yang pendapatan mereka terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, kelonggaran itu diberi bertujuan meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai, tertakluk kepada tiga kriteria ditetapkan.
“Pertama, adalah penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022, dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang perlu dibayar serta penalti termaktub dalam tawaran tersebut mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
“Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP.
“Ketiga adalah pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh. Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” menurut kenyataan itu.
Jelas LHDN lagi, pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.
“Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti dikehendaki undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.
LHDN turut menyediakan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0 berkaitan perkara ini, selain menyentuh isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/0389111100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my. -UTUSAN ONLINE