PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mewajibkan semua lembu atau kerbau yang dijangkiti penyakit kulit kental (LSD) disembelih hanya di rumah sembelih agensi itu.
Langkah ini selaras peruntukan Kaedah-Kaedah Pemeriksaan Daging 1985 bagi memastikan segala daging daripada ternakan itu sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.
Agensi itu menerusi kenyataan bersama dengan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan berkata, haiwan disembelih juga perlu dinilai pemeriksa daging JPV.
“Ini meliputi prosedur pemeriksaan veterinar ante-mortem dan post-mortem kerana jika ada lagi lesi nodular pada karkas atau organ dalaman, ia akan dilupuskan,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu sebagai mengulas kebimbangan umat Islam terhadap penularan LSD ke atas ternakan yang bakal menjalani ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kelak.
Mengulas lanjut, JPV berkata, penghapusan daging itu secara sepenuhnya juga berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelupusan sembelihan haiwan yang sudah berjangkit.
Bagaimanapun, lesi pada kebiasaannya cuma terdapat pada lapisan kulit ternakan malah LSD itu sendiri bukannya zoonotik iaitu tidak jangkiti manusia secara langsung atau melalui daging.
Perkara ini turut diperakui Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) diiktiraf Pertubuhan Perdagangan Sedunia.
“JPV ingin menegaskan bahawa karkas sembelihan LSD tidak membahayakan manusia dan dagingnya boleh dimakan setelah melalui proses pemeriksaan teliti pihak berkuasa,” katanya.
Sebagai langkah tambahan, daging disembelih perlu dimasak dengan sempurna kerana virus LSD pada kelazimannya akan musnah pada suhu 65 darjah Celsius selama tempoh 30 minit.
Pihak JPV akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam hal ini dan meningkatkan pemantauan semua daging import di pintu masuk sempadan negara dan pasaran domestik.
Usaha berterusan itu, ujarnya, bagi memastikan tiada langsung daging yang berpenyakit dijual di pasaran dan tidak disembelih di mana-mana 27 buah rumah penyembelihan di bawah JPV.
LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar melalui gigitan serangga vektor seperti nyamuk atau sengkerit sebelum berjangkit menerusi rembesan air liur dan hidung ternakan.
Penyakit ini boleh memberi kerugian ekonomi yang besar kepada industri ternakan ruminan negara apabila haiwan terbabit turun berat badan, kekurangan susu, keguguran dan mandul. -UTUSAN ONLINE