KAMPAR: Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di sebuah lombong di Kuala Kampar di sini semalam.
Kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Peng Lawn, 21, mandi di lombong berkenaan bersama abangnya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian berlaku ketika dua beradik itu datang ke kebun buah-buahan di Kuala Kampar untuk memohon kerja.
Katanya, mereka yang tiba di kebun berkenaan pada pukul 4.30 petang telah diminta oleh pemilik kebun untuk meninjau keadaan kebun itu terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.
“Bagaimanapun selepas dua jam, abang mangsa memaklumkan kepada pemilik kebun yang adiknya lemas ketika mereka mandi di lombong di belakang kebun.
“Menurut lelaki itu, dia melihat adiknya berenang ke tengah lombong sebelum dilihat dalam keadaan terkapai-kapai. Lelaki itu cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana keletihan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hasron, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa dilakukan hari ini bermula pukul 8 pagi.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi pencarian mangsa dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Katanya, radius pencarian melibatkan keseluruhan lombong yang akan dimulakan di lokasi mangsa disyaki lemas.
“Operasi hari ini melibatkan 15 anggota termasuk empat orang daripada Unit Anjing Pengesan (K9) bomba,” katanya.