TELUK INTAN: Berang kerana anak ditegur jiran menjadi motif pembunuhan seorang lelaki di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap, 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, motif pembunuhan tersebut didedahkan selepas lima individu termasuk suspek utama berusia 34 tahun ditangkap, Selasa lalu.
“Motif pembunuhan disebabkan suspek marah kerana mangsa menegur anaknya membuat bising iaitu menunggang motosikal di hadapan rumah lelaki tersebut.
“Mangsa dan suspek utama tinggal berjiran di mana rumah mereka hanya berselang dua buah rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Adnan, suspek dan empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun telah direman di mana suspek utama akan didakwa di Mahkamah Teluk Intan, esok.
Katanya, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 326 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Empat lelaki lain yang ditangkap bersama suspek utama akan diberi jamin dan diikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebagai saksi pendakwaan,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan dengan lengan tangan kanan hampir putus di dalam semak di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap.
Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada pukul 9 malam. -UTUSAN ONLINE