PETALING JAYA: Sejumlah 41,179 banduan telah dilepaskan menjalani perintah parol setakat semalam, kata Pengarah Bahagian Parol Dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Datuk Ibrisam Abdul Rahman.
Beliau berkata, daripada bilangan itu, jumlah mereka yang berupaya berintegrasi semula dengan masyarakat adalah sebanyak 98 peratus manakala kadar residivis atau pengulangan jenayah hanya sekitar 0.44 peratus.
“Kebanyakan bekas banduan atau 98 peratus daripadanya bekerja dengan majikan yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara sebelum ini atau mereka mencari majikan lain, tapi kita dapati mereka dapat terus hidup dalam komuniti dan majikan banyak membantu dalam integrasi semula.
“Saya harap program integrasi dapat dipelbagaikan lagi menerusi sokongan dari komuniti dan pemimpin masyarakat,” katanya ketika sesi pembentangan program perbincangan meja bulat mengenai proses integrasi semula bekas banduan dalam masyarakat secara maya hari ini.
Beliau bagaimanapun menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya memberi bantuan dan sokongan kepada golongan bekas banduan.
“Saya lihat NGO bukan Islam baik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak sangat membantu, tetapi agak sedih dengan NGO Islam yang kebanyakannya tertumpu kepada luar negara seperti Afrika dan Palestin. Apa yang mereka buat adalah bagus, tetapi mengapa tidak tengok golongan seperti banduan yang juga merupakan golongan rentan.
“Kebanyakan banduan adalah beragama Islam jadi kalau bantuan zakat dan di masjid, mengapa tidak dikumpul dan buat program baik untuk rakyat? Kita sahaja tak cukup kakitangan dan dana, tak mampu melihat bekas banduan di daerah, kampung, bandar, negeri tapi NGO ada rumah persinggahan. Saya menyeru NGO Islam supaya turut membantu bekas banduan kembali dalam masyarakat,” katanya. -UTUSAN