PUTRAJAYA: Kes kematian akibat Covid-19 kembali meningkat kepada 101 kes berbanding 60 korban semalam sekali gus mencatatkan jumlah kumulatif kematian sudah melebihi 4,000 iaitu 4,069 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian tertinggi dicatatkan di Selangor sebanyak 50 kes, Kuala Lumpur (11) Johor (10), Negeri Sembilan (lapan), Labuan (empat), masing-masing tiga kes di Sabah, Pahang, Kedah dan Kelantan, dua di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Perak.
Beliau berkata, ia melibatkan mereka dalam kalangan umur 29 hingga 88 tahun dengan kebanyakan mempunyai pelbagai latar belakang penyakit kronik selain obesiti.
“Negara terus merekodkan kes sembuh tinggi 6,831 kes melebihi kes positif baharu yang meningkat semula kepada 5,419 kes berbanding 4,949 semalam dengan 19 kluster baharu dicatatkan.
“Kes aktif pula merekodkan jumlah 70,112 kes, selain 922 pesakit berada di di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 450 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sehingga kini sebanyak 2,513 kluster direkodkan dengan 778 kluster masih aktif manakala 1,735 kluster ditamatkan.
Bagi kluster baharu direkodkan, kata beliau, sebanyak 14 kluster melibatkan tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi.
Beliau berkata, kluster tempat kerja itu ialah Industri Balakong Baru melibatkan Hulu Langat Selangor (61 kes); Industri Pulau Meranti di Sepang, Selangor (57 kes); Industri Jalan Beranga di Klang, Selangor (74 kes); Industri Meranti Jaya 13 juga di Sepang (81 kes); Industri Jalan Serendah di Petaling, Selangor (24 kes); Industri Perusahaan Dua Bangi di Hulu Langat dan Petaling (42 kes) serta Jalan Keluli Lama di Johor Bahru (12 kes).
Selain itu, kluster tempat kerja ialah Kasap di Segamat, Johor (9 kes); Dulang di Subis, Miri, dan Bintulu Sarawak (39 kes); Jalan Daya di Kuching, Sarawak (27 kes); Tingkat Perusahaan Empat di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (25 kes); Industri Teknologi Cheng 28 di Melaka Tengah (27 kes); Tapak Bina Wangsa Kuarza di Titiwangsa, Kuala Lumpur (14 kes) dan Dah Industri Arang di Kuala Muda dan Sik, Kedah (17 kes).
“Kluster Komuniti pula melibatkan di Julau, Sarawak iaitu Nanga Sejugam (64 kes); Nanga Strass di Meradong, Sarawak (29 kes); Kampung Kolong di Kuching, Sarawak (44 kes) dan Desa Rejang di Titiwangsa, Kuala Lumpur (260 kes) selain satu kluster Jalan Mesra melibatkan Kumpulan Berisiko Tinggi di Titiwangsa dan Hulu Langat (25 kes),” katanya.- UTUSAN ONLINE