Lari 30 kilometer kerana ketum - Utusan Malaysia

Lari 30 kilometer kerana ketum

SUSPEK berusia 26 tahun cuba melarikan diri sejauh 30 kilometer terbabas sendiri di susur Jalan Salim, Merlimau, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lelaki diberkas polis selepas cuba melarikan diri sejauh 30 kilometer gara-gara membawa bekalan daun ketum seberat 14 kilogram ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Mufti Haji Khalil di sini, kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun itu berjaya diberkas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dipandunya terbabas sendiri di susur Jalan Salim, Merlimau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika suspek tiba di SJR tersebut dari arah Jalan Tun Razak, Ayer Keroh.

“Ketika pihak polis ingin memeriksa kenderaannya, suspek tiba-tiba memecut laju dan sepasukan polis mengejarnya hampir 30 kilometer sehingga MPV dinaikinya terbabas sendiri di susur Jalan Salim, Sebatu.

“Hasil pemeriksaan lanjut kenderaan suspek menemui empat bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun dipercayai ketum dengan anggaran berat 14 kilogram,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat bekalan daun ketum itu dipercayai telah dibawa dari luar masuk ke negeri ini bagi pasaran tempatan.

“Suspek merupakan orang Merlimau dan kita syak daun ketum ini telah dibawa masuk dari luar Melaka, namun, siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Suspek telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 mengikut Peraturan 4 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021),” katanya.

Tambahnya, suspek turut direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara merbahaya dan melulu.

Lelaki itu juga turut berdepan tindakan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 atas kesalahan memiliki daun ketum serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya