Laporkan kepada JKM, penghulu jika terputus bekalan - Utusan Malaysia

Laporkan kepada JKM, penghulu jika terputus bekalan

BEKALAN makanan kepada penduduk di kawasan PKPD Kepulauan Tumpat diagihkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malayia (JBPM) hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Jika terputus bekalan makanan, penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta melaporkan masalah itu kepada penghulu atau menghubungi terus Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Kanan Bahagian Kebajikan Produktif JKM negeri, Azizi Sazle Salleh berkata, isu terputus bekalan atau terpaksa mencatu makanan tidak sepatutnya timbul kerana bantuan sentiasa disalurkan kepada penduduk di kawasan PKPD.

Katanya, selain JKM sendiri, bekalan makanan turut disumbangkan oleh pelbagai pihak lain seperti badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan individu dermawan dari semasa ke semasa sebelum diagih mengikut jadual.

“Maka, kita harap jika ada golongan yang tidak mendapat bekalan atau tidak cukup bekalan, sentiasa berhubung dengan pihak kami atau penghulu kawasan mereka untuk maklumat susulan. Kami harapkan perkara ini diperbetulkan dan lebih jelas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengagihkan 466 bakul makanan kepada penduduk di Kepulauan Tumpat yang dikenakan PKPD, di Jeti Pengkalan Kok Majid, di sini hari ini.

Sebelum ini tular dalam media sosial laporan Utusan Malaysia mengenai ibu tunggal empat beranak bernama Fatimah yang mengeluh terpaksa terus mencatu makanan, ekoran PKPD di Kepulauan Tumpat yang sepatutnya tamat 4 Jun lalu, disambung hingga 18 Jun depan.

Menurut Fatimah, dia sebelum ini cuba berjimat cermat selepas menerima seekor ayam untuk dinikmati mereka sekeluarga sepanjang minggu pertama dan seekor lagi ayam pada minggu kedua, sebelum dibekalkan 10 ekor anak ikan kembung pada minggu ketiga PKPD.

Wanita itu juga memberitahu bantuan barang dapur pernah diterima juga hampir habis selain turut terputus bekalan nestum dan lampin pakai buang untuk kegunaan dua anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Azizi Sazle dalam pada itu berkata, sejak 22 Mei hingga 4 Jun, pihaknya sudah mengagihkan 1,398 bakul makanan untuk kegunaan penduduk di kawasan PKPD iaitu Pulau Beluru, Pulau Haji Nik Mat, Pulau Suri dan Teluk Renjuna.

“Apabila PKPD disambung pada 5 Jun hingga 18 Jun depan, agihan bakul makanan kali kedua dan ketiga telah disambung dan untuk hari ini sahaja sebanyak 466 bakul makanan lagi diagihkan kepada penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya