Laporan siasatan nahas LRT sudah diterima - Utusan Malaysia

Laporan siasatan nahas LRT sudah diterima

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan Jawatankuasa Siasatan mengenai insiden nahas pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara bulan lepas, sudah lengkap diterima hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau telah pun menerima laporan dan satu sesi pembentangan secara maya turut dilakukan oleh panel jawatan kuasa tersebut.

“Saya berpuas hati dengan laporan ini kerana dibuat secara profesional dan komprehensif dalam perinciannya serta dapat diselesaikan dalam tempoh 14 hari yang diberikan,” katanya menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi miliknya hari ini bersempena genap dua minggu insiden tersebut berlaku di Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

Tragedi julung kali dalam sejarah 23 tahun sistem rel moden itu menyaksikan 166 penumpang cedera ringan selain 47 lagi mangsa parah di laluan antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Susulan kemalangan ini, Kementerian Pengangkutan segera mewujudkan Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan sendiri Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada pasukan tersebut atas usaha keras menyiapkan laporan berkenaan yang akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet esok.

“Syabas diucapkan kepada anda yang bertungkus lumus siang malam termasuk turun padang, buat sesi simulasi di lokasi kejadian, temusiasat dan meneliti dokumen berkaitan,” jelasnya.

Justeru, beliau memuji jawatan kuasa itu kerana turut memberi cadangan untuk peningkatan keselamatan dan prosedur operasi standard RapidRail di Lembah Klang pada masa depan.

Pada masa ini, beliau masih meneliti pelbagai dokumen dan hasil penemuan yang diberikan oleh jawatan kuasa tersebut sebelum dibentangkan dapatan laporan itu kepada Kabinet.

Malah, ujar beliau, laporan berkenaan bukan setakat meningkatkan mutu perkhidmatan RapidRail, sebaliknya membantu kerajaan untuk menambah baik sistem rel awam di negara ini.

“Segala cadangan oleh Jawatankuasa Siasatan ini juga akan dapat meningkatkan infrastruktur perkhidmatan kereta api di Malaysia untuk tempoh jangka panjang,” tegas Ka Siong lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya