PUTRAJAYA: Laporan siasatan insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di ibu negara akhir bulan lalu bakal dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, laporan itu kelak meliputi pelbagai cadangan untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah kejadian serupa daripada berulang.
“Jawatankuasa Siasatan telah melaksanakan beberapa perkara termasuk semakan prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kemalangan melibatkan pertembungan tren 40 dan 81 antara Stesen KLCC dan Kampung Baru pada 24 Mei itu mengakibatkan 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah yang merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah LRT sejak sistem rel moden tersebut dilancarkan pada 1998 menjelang Sukan Komanwel di ibu negara.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, tujuan penyiasatan menjurus mengenal pasti hal keadaan punca sebenar perlanggaran bagi mengelak insiden sama berlaku lagi pada masa depan.
“Penyiasatan yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan ini dijalankan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak,” tegas beliau.
Pihak panel jawatan kuasa ujarnya, turut menyemak manual operasi, buku peraturan dan segala dokumen panduan operasi yang berkaitan serta temusiasat bersama pihak berkaitan.
Mereka juga, kata beliau, mengumpul data dari rakaman kamera litar tertutup serta membuat perbincangan teknikal dengan pembekal teknologi rel untuk dirangkumkan dalam laporan itu.
Malah, Ka Siong menambah, bagi mendapatkan gambaran kejadian secara lebih jelas, satu lawatan telah diadakan di pusat kawalan operasi LRT di Lembah Subang pada 1 Jun lepas diikuti dengan sesi simulasi kemalangan melibatkan dua tren tersebut yang dibuat terus di tempat kejadian oleh pihak Prasarana Malaysia Bhd pada tarikh sama.
Jawatan kuasa itu ditubuhkan segera sehari selepas berlaku insiden tersebut dan diberi masa selama 14 hari untuk melengkapkan siasatan sebelum dibentangkan kepada jemaah Kabinet.
Katanya, panel jawatan kuasa terdiri sembilan ahli itu sudah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dan mengumpulkan maklumat yang berkaitan aspek teknikal dan keselamatan.
Pihak kerajaan ujar beliau, akan terus mencari jalan penyelesaian tuntas dan meningkatkan tahap keselamatan para pengguna pengangkutan awam yang sentiasa menjadi keutamaan. -UTUSAN ONLINE