Langgar kabel TM, van kilang terbalik - Utusan Malaysia

Langgar kabel TM, van kilang terbalik

SEBUAH van kilang terbalik selepas melanggar kabel TM di Jalan Kampung Pegoh Dalam, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Empat wanita pekerja kilang biskut cedera apabila van dinaiki mereka terbalik selepas melanggar kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Kampung Pegoh Dalam di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, semua mangsa dalam lingkungan usia antara 25 hingga 50 tahun mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan dikejarkan ke hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Penguasa Kanan Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.33 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama-sama satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (​EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dalam jarak perjalanan lapan kilometer.  

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 10.40 malam dan mendapati sebuah van kilang terbabas dalam keadaan terbalik.

“Pemeriksaan dalam kenderaan, terdapat lapan penumpang yang terselamat dan kerja-kerja penyelamatan dilakukan. Kesemua mereka berjaya dikeluarkan pada pukul 11.18 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulan hospital, manakala dua lagi menaiki EMRS. 

Katanya, pemandu van iaitu seorang lelaki berusia 73 tahun serta tiga lagi pekerja wanita tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mengikut maklumat diterima daripada mangsa, kejadian berlaku ketika mereka semua dalam perjalanan pulang kerja dari sebuah kilang biskut di Kelemak.

“Sampai di lokasi pemandu ternampak kabel TM merintangi jalan dan cuba mengelak, namun gagal sehingga menyebabkan van dipandu hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di bahagian kiri jalan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya