Kurang manis guna 'aku', 'kau' di televisyen- Awang Sariyan - Utusan Malaysia

Kurang manis guna ‘aku’, ‘kau’ di televisyen- Awang Sariyan

ZAINAL ABIDIN BORHAN dan AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahasa yang digunakan dalam mana-mana saluran media perlu lebih terkawal agar menepati konteks kesantunan dan kesopanan bahasa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, sememangnya terdapat sedikit kelonggaran dalam program yang tidak rasmi seperti penggunaan bahasa sehari-hari atau dialek, namun ia tetap perlu dijaga dari segi kesantunannya.

“Bahasa ada yang bersifat eksklusif dan yang bersifat inklusif. Gurau senda dan perbualan yang terhad seperti antara kawan karib bersifat eksklusif atau terbatas. Tiada kesan kepada pihak lain.

“Bahasa dalam media bersifat inklusif kerana diikuti oleh jumlah khalayak yang besar dan berbagai-bagai golongannya. Oleh itu, bahasa dalam media perlu lebih terkawal bukan sahaja dalam program rasmi seperti berita, dokumentari, wacana forum, ceramah dan sebagainya, bahkan dalam program lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ahli Majlis Profesor Negara,  Prof. Emeritus Teo Kok Seong dalam rencananya  di akhbar Utusan Malaysia bertajuk Bahasa Melayu di TV Tiada adab membangkitkan penggunaan bahasa Melayu di kaca televisyen yang kini tiada adab kerana penggunaan ‘aku’ dan ‘kau’ dalam bual bicara tidak patut digunakan kerana tidak sesuai untuk tontonan umum.

Menurut Awang, penggunaan kata sapaan adalah antara kesantunan bahasa yang perlu dijaga kerana dua unsur dalam kata sapaan adalah kata ganti nama dan panggilan hormat.

“Contohnya, penggunaan ‘kamu’ dan ’awak’, apatah lagi ‘engkau’ tidak digunakan dalam media, kecuali program seperti drama. Sekian lama kata ‘kamu’ digunakan oleh pelajar kepada guru, oleh jurujual bahkan eksekutif firma sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang di pihak satu lagi.

“Semasa saya menjadi Ketua Pengarah DBP, ada ketua eksekutif swasta yang membentangkan kertas cadangan dengan menggunakan kata ‘kamu’ dan tindakan itu menghilangkan minat saya untuk mendengar pembentangannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, kesantunan dan kesopanan bahasa perlu diambil kira oleh stesen televisyen tidak kira sama ada stesen kerajaan atau swasta sekalipun kerana ia adalah saluran rasmi.

“Tiada masalah sekiranya pengunaan ‘aku’ dan ‘kau’ berlaku dalam konteks rapat seperti rakan sebaya, tetapi dalam situasi formal adalah ‘saya’ dan ‘awak’.

Katanya, perkara berkenaan juga mendatangkan pengaruh apabila terdapat pihak atau penonton yang tidak memahami konteks dengan menganggap semuanya dalam konteks yang serupa sedangkan bahasa mempunyai laras tinggi, rendah dan tahap-tahapnya.

“Penerbit dan stesen televisyen juga perlu berkursus semula untuk memahami erti konteks formal dan tidak formal,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya