Kumpulan kerja pantau kerjasama EU-WHO perangi Covid-19 - Utusan Malaysia

Kumpulan kerja pantau kerjasama EU-WHO perangi Covid-19

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah kumpulan kerja akan diwujud bagi memantau dan menyelaras segala dana kerjasama dengan badan antarabangsa dalam usaha memerangi Covid-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kumpulan tersebut diketuai bersama pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Segala dana diterima daripada Kesatuan Eropah (EU) untuk program pembasmian wabak Covid-19 di Malaysia turut akan dipantau ketat kumpulan ini secara telus dan bebas,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran rasmi Program Sokongan Tindak Balas Covid-19 ASEAN-EU kelolaan WHO di Malaysia secara maya hari ini.

Juga hadir ialah Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas serta Wakil WHO Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Lo Ying-Ru Jacqueline di samping pegawai kanan daripada Kementerian Kesihatan.

Menerusi program khas selama tiga tahun itu yang sudah bermula awal tahun ini, pihak EU menyalurkan dana berjumlah 1.724 juta euro (RM8.7 juta) untuk aktiviti diatur WHO di Malaysia.

 Mengulas lanjut, Adham berkata, kumpulan kerja itu akan dipimpin bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamsha Ibrahim.

 “WHO pula bakal diketuai sendiri oleh Ying-Ru untuk memastikan setiap peruntukan yang diterima daripada EU itu perlu dibelanjakan habis sebaik mungkin,” jelas beliau.

 Kumpulan tersebut ujarnya, turut akan bertindak sebagai penyelaras dalam setiap aktiviti yang dirancang bersama dalam memastikan penularan Covid-19 berjaya dikekang sepenuhnya.

 Ditanya dari sudut gerak kerja memandangkan hampir kesemua kakitangan kementerian tersebut telah digunakan untuk memerangi wabak berkenaan, beliau berkata, isu itu turut diteliti.

 Justeru, bagi memaksimumkan kapasiti sumber manusia yang ketika ini habis dikerah untuk tujuan ‘melawan’ Covid-19, kementeriannya sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak.

 Ini tambahnya, meliputi sukarelawan sektor swasta, petugas komuniti setempat, badan bukan kerajaan sama ada tempatan dan antarabangsa untuk tampil menjayakan projek berkenaan.

 “Kita juga menyambut baik kerjasama dari pelbagai organisasi luar termasuk agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu berpangkalan di Malaysia untuk menolong,” kata Adham.

 Beliau turut menghargai inisiatif WHO dan EU yang sedia menggembleng tenaga memerangi Covid-19 di seluruh negara ini menerusi dana khas itu melalui pelbagai program disusun rapi.

Bantuan kewangan itu ujar beliau turut meliputi siri kempen kesedaran mengenai wabak dan program vaksinasi selain ‘perang’ berita palsu disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya