PUTRAJAYA: “Saya sangat hargai segala kudrat dan tenaga yang diberikan setiap penjawat awam terutamanya barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab tanpa gagal,” kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Mohd. Zuki berkongsi perkara itu di laman Facebook selepas berpeluang melawat beberapa operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, komitmen diberikan penjawat awam terutama barisan hadapan sememangnya sangat menyentuh jiwanya.
“Tiada erti rehat dan tidur juga tidak menentu ekoran operasi pemantauan bermula seawal dinihari dan masa balik ke rumah juga tidak tentu masa selain bekerja tujuh hari seminggu.
“Mereka juga terdedah dengan risiko Covid-19 demi memastikan rakyat patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Mohd. Zuki berkata, secara keseluruhan, beliau melihat operasi SJR berjalan dengan lancar dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.
Mohd. Zuki berkata, seramai hampir 70,000 penjawat awam ditugaskan di seluruh negara melibatkan 930 SJR dan Ops Benteng sehingga 4 Jun lalu.
Hari ini, Mohd. Zuki ditemani Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani meninjau pelaksanaan operasi SJR di Putrajaya Persiaran Utara, Lebuhraya Persekutuan, Tol Sungai Besi, Plaza Tol Putrajaya, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak LPT.
Pada tinjauan sama, Mohd. Zuki turut menghulurkan bakul makanan sumbangan Yayasan Prihatin Nasional kepada barisan hadapan yang bertugas di SJR. -UTUSAN ONLINE