KPJ dilantik sebagai pengendali vaksin, beri 6,000 dos setiap hari - Utusan Malaysia

KPJ dilantik sebagai pengendali vaksin, beri 6,000 dos setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 6,000 individu akan menerima suntikan dos vaksin setiap hari bermula hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang dikendalikan oleh KPJ Healthcare Berhad (KPJ).

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Ahmad Shahizam Mohd. Shariff berkata, ia merupakan jumlah vaksinasi terbesar oleh kumpulan penjagaan kesihatan swasta di negara ini.

Ini setelah KPJ dilantik oleh ProtectHealth Corporation (ProtechHealth) untuk mengendalikan proses vaksinasi Covid-19,  dengan PPV Mega dianjurkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Di PPV Mega Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KPJ akan memberikan sehingga 2, 600 vaksinasi setiap hari, atau kira-kira satu pertiga dari jumlah 8,000 dos yang disasarkan setiap hari di pusat ini.

“Selain itu, KPJ, menerusi 20 hospitalnya di seluruh negara turut serta dalam Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) dan akan mengendalikan sehingga 3,400 dos setiap hari menjelang akhir bulan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, katanya, secara keseluruhan KPJ akan memberikan sehingga 6,000 dos vaksinasi Covid-19 setiap hari menjelang akhir Jun ini.

Bukan itu sahaja, Ahmad Shahizam berkata proses vaksinasi itu juga akan menyumbang empat peratus daripada bilangan vaksinasi harian yang disasarkan iaitu sebanyak 150,000 suntikan dos di seluruh negara.

“KPJ komited sepenuhnya dan menunjukkan sokongannya kepada program vaksinasi kerajaan dengan memperuntukkan lebih daripada 10 peratus tenaga kerja dan klinik kepakaran di seluruh Malaysia, yang merangkumi perunding perubatan, jururawat dan ahli farmasi.

“Sokongan terhadap inisiatif vaksinasi ini berharap dapat membantu kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi dan keupayaan untuk mencapai imuniti kelompok peringkat kebangsaan pada akhir tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, proses vaksinasi yang dilakukan oleh KPJ adalah sebahagian daripada pelaksanaan Fasa Kedua dan Fasa Ketiga daripada PICK, yang akan mengutamakan individu berisiko lebih tinggi seperti orang tua, orang kurang upaya, dan individu berpenyakit bahaya.

“Oleh kerana vaksinasi dilakukan sebagai sebahagian daripada PICK di bawah CITF, semua vaksinasi diberikan secara percuma, dengan kos ditanggung oleh kerajaan.

“Semua temu janji dan pendaftaran vaksinasi ini di KPJ PPV adalah dibuat melalui aplikasi MySejahtera, dan temu janji akan diberitahu melalui MySejahtera dan tidak dibenarkan masuk tanpa temu janji,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya