KPDNHEP, Kementerian Pertanian bekerjasama pantau bekalan, harga barang pertanian - Utusan Malaysia

KPDNHEP, Kementerian Pertanian bekerjasama pantau bekalan, harga barang pertanian

ROSOL Wahid (kanan) membuat pemeriksaan minyak masak di sebuah pasar raya di Teluk Intan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan dan harga barangan pertanian kekal stabil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, usaha itu untuk memastikan situasi menang-menang di antara petani dan pengguna.

“Kita memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana mereka jaga peladang, kita jaga pengguna.

“Kalau kita kekurangan ayam, kita tiada kuasa untuk keluarkan bekalan, tetapi, harga di bawah kita. Hubungan kita terlalu rapat, ada masalah kita akan bincang,” katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekitar Teluk Intan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan memastikan petani dan penternak tidak terniaya dan dalam masa yang sama pengguna pula mendapat harga berpatutan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sayuran di pasaran malah terdapat penurunan harga berbanding ketika musim perayaan sebelum ini.

“Contohnya cili, sebelum ini, ketika musim perayaan kita tetapkan harga RM15 sekilogram, hari ini RM6 sekilogram.

“Harga ini bergantung kepada jenis kesegaran sayur, tetapi, kalau ada maklumat berlaku kenaikan harga, boleh maklum kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak RM1.09 juta kompaun dikutip KPDNHEP melalui 160 kes membabitkan syarikat dan individu yang gagal mematuhi SOP mengikut Akta 342 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 hingga 11 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya