KOTA KINABALU: Hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh menunjukkan keadaan jalan raya di ibu negeri Sabah masih sesak dengan kenderaan.
Tinjauan di sekitar pusat bandar raya mendapati kenderaan penuh sesak di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) Kepayan menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu.
Walaupun sekatan pergerakan dikenakan dan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dikuatkuasakan namun, masih ramai yang cuba memasuki pusat bandar raya pada hari terakhir cuti umum di negeri ini.
Keadaan di pasar raya dan kompleks beli belah juga lengang kerana hanya sektor perkhidmatan perlu seperti restoran, kedai telekomunikasi dan farmasi sahaja yang dibenarkan beroperasi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, bagi kawasan Penampang sebanyak empat lokasi SJR dibuka bagi memantau pergerakan orang ramai yang keluar dan masuk ke Penampang.
Beliau berkata, lebih kurang 160 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bertugas dalam SJR dan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Kali ini tindakan tegas dan kompaun yang tinggi akan dikenakan terhadap mana-mana penduduk yang gagal mematuhi SOP kerana ini sudah memasuki sekatan pergerakan penuh.
“Langkah ini perlu bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mengelakkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, suasana di Pasar Besar Kota Kinabalu agak lengang menyebabkan peniaga sukar untuk mendapat pelanggan.
Peniaga sayur, Chong Yun Moi berkata, sejak dari pagi lagi keadaan di pasar agak sunyi kerana tidak ramai pelanggan yang datang membeli sayur-sayuran.
Katanya, pelaksanaan PKP 3.0 memang mendatangkan kesukaran kepada peniaga kecil-kecilan seperti mereka. Biarpun operasi pasar dibenarkan hingga 3 petang namun, ramai orang yang tidak berani keluar untuk membeli barangan.
“Esok saya mengambil bekalan sayur-sayuran, tidak pasti jika sayuran itu mampu terjual. Biasanya saya ambil bekalan sayuran sekitar 10 kilogram jika pelanggan ramai tapi melihat keadaan semasa, saya mungkin perlu mengurangkan bekalan sayur.
“Biasanya saya ambil daun bawang, daun sup, tomato daripada pemborong yang mengambil bekalan sayur-sayuran dari Kundasang,” katanya.
Yun Moi berkata, dia tidak pasti sekiranya kerajaan memberi pengecualian bayaran sewa tapak kepada mereka atau sebaliknya kerana semasa pelaksanaan PKP 1.0 pengecualian sewa tapak diberikan selama setahun.- UTUSAN ONLINE