KOTA BHARU: Selain bertungkus-lumus menyelamatkan ribuan nyawa pesakit Covid-19 sedia ada, petugas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan juga diuji dengan pelbagai kerenah pesakit yang disahkan positif, namun liat untuk menjalani rawatan di hospital.
Rata-rata mereka mempunyai alasan dan kekangan tersendiri, memaksa para petugas berkorban masa dan tenaga serta memerah otak memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi setiap masalah dibangkitkan pesakit.
Antaranya, membantu pasangan warga emas positif Covid-19 mencari pihak yang sudi menjaga anak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) serta haiwan ternakan sebelum mereka berdua dimasukkan ke hospital.
Berkongsi kisah itu kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr. Anilawati Mat Jelani berkata, pasangan tersebut enggan ke hospital kerana tiada siapa boleh diharapkan untuk menjaga makan minum anak serta 15 ekor kambing mereka.
Katanya, kes itu terpaksa dibincangkan Pegawai Kesihatan Daerah bersama pihak hospital selepas buntu memikirkan jalan untuk meyakinkan kedua-dua pesakit supaya menjalani rawatan di hospital tanpa mengabaikan kebajikan anak dan ternakan mereka.
“Ibu dan ayah positif Covid-19 namun anak perempuan, seorang OKU berumur 21 tahun negatif. Rumah mereka daif, dinding berlubang-lubang, tinggal pula di lokasi hotspot penagih dadah. Kalau mereka berdua masuk wad, anak OKU dan kambing 15 ekor itu siapa nak jaga?
“Alhamdulillah, hasil perbincangan kita dengan pelbagai pihak, Tok Penggawa di situ dan komuniti setempat bersetuju untuk sama-sama bantu jaga anak, kambing dan harta benda pasangan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Dr. Anilawati, kisah tiga sekeluarga bersama 15 ekor kambing itu hanya secebis daripada 1,001 lagi isu sosial yang diselesaikan pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sebelum pesakit dimasukkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Kata beliau, selain kes-kes yang menguji ketahanan mental, petugas kesihatan juga berdepan kes yang berisiko mengancam keselamatan diri sendiri ketika mereka mahu mengambil seorang pesakit kanak-kanak berusia 12 tahun yang dijangkiti Covid-19.
“Pasukan kesihatan tiba rumahnya bersama ambulans untuk mengambil pesakit yang perlu menjalani kuarantin di PKRC. Tanpa diduga, dia menjadi agresif dan menyerang petugas dengan pisau. Rupa-rupanya dia memang ada masalah tingkah laku namun tidak pernah menerima rawatan,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya, situasi pengurusan Covid-19 di Kelantan boleh dikatakan unik dan mencabar kerana banyak isu sosial timbul, terutama membabitkan pesakit daripada keluarga yang susah.
“Saya harap orang ramai menghargai pelbagai usaha warga kesihatan yang setiap hari bertungkus-lumus merawat dan berusaha menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
“Covid-19 semakin menular dalam komuniti, jadi elakkan berkumpul walaupun kecil, dapatkan rawatan awal jika bergejala dan daftarkan diri untuk vaksin. Apabila tiba tarikh temu janji, pastikan ia ditepati. – UTUSAN ONLINE