KANGAR: Siapa sangka cetusan idea pemilk restoran makanan barat Chortiez & Co memperkenalkan ‘kopi gantung’ ikat tepi yang dijual di tepi jalan bagi menambah pendapatan selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka rezeki baharu buatnya apabila mendapat sambutan cukup hebat.
Minuman tersebut yang dibancuh menggunakan kopi kasar, susu pekat manis dan susu krim penuh itu memberikan kombinasi rasa yang cukup sedap dan lemak menyebabkan ramai yang sanggup beratur panjang bagi merasai keenakan kopi itu.
Pengurus Chortiez & Co, Mohd. Fakhruddin Abd. Latif. 37, berkata, idea untuk menjual kopi tersebut timbul apabila restorannya di Taman Sena Indah di sini terjejas sehingga 80 peratus berikutan PKP 3.0 ini.
Katanya, bimbang situasi tersebut berterusan yang akan memberi kesan kepada 30 pekerjanya, dia mengambil keputusan menjual kopi gantung di hadapan restorannya itu sejak minggu kedua PKP.
Jelasnya, dia juga cukup terkejut kerana tidak sampai seminggu kopi tersebut mula mencetuskan fenomena apabila tular di media sosial termasuk Facebook.
“Mungkin sebab kopi yang dijual pada harga RM4 sebungkus itu menarik kerana menampakkan lapisan susu, kopi dan digantung di dalam beg plastik menyebabkan ramai yang suka mengambil gambar dan dimuat naik ke media sosial.
“Bila mula tular di media sosial, ramai pelanggan yang datang sehingga terpaksa beratur panjang. Ramai pelanggan yang datang berulang kali untuk membeli kopi ini kerana mereka merasakan kopi yang kami sediakan itu rasanya memang ‘padu’.
“Bagi mengelakkan pelanggan beratur panjang selain mematuhi pergerakan tidak melebihi 10 kilometer sepanjang PKP ini, kami telah membuka dua lagi cawangan iaitu di depan Caltex Taman Melati Haz, Beseri dan di depan pejabat pos Arau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Mohd. Fakhruddin, mereka beroperasi dari pukul 1 hingga 6.30 petang dan lebih 1,500 bungkus terjual setiap hari.
Berikutan itu katanya, apa pihak yang menghubunginya untuk membuka cawangan ‘kopi gantung’ itu di kawasan mereka termasuk di Kuantan, Pahang.
“Insya-Allah, dalam minggu ini ada satu cawangan ‘kopi gantung original’ yang akan dibuka di Kuantan. Selain itu, bagi negeri ini pula, kami ada berbincang dengan peniaga untuk membuka mini francais di Kuala Perlis, Seriab dan Bintong,” katanya.
Dalam pada itu katanya, fenomena kopi gantung telah mencetus pelbagai versi minuman tersebut di negeri ini yang dijual oleh peniaga-peniaga kecil di tepi jalan.
“Kami tidak kisah bila ramai yang buat versi kopi gantung mereka sendiri. Buat kopi yang sedap dan gunakan kuasa tular kopi gantung ini untuk sama-sama untuk mencari rezeki dalam waktu PKP,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE