BUKIT MERTAJAM: Seramai 113 individu telah disaring hingga semalam susulan laporan terdapat tiga peniaga di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini yang didapati positif Covid-19, baru-baru ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, daripada 113 yang disaring itu, 10 daripadanya telah disahkan positif, 17 negatif manakala selebihnya pula masih menunggu keputusan ujian calitan yang dijalankan sebelum ini.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengisytiharkan lokasi Pasar Awam Bukit Mertajam sebagai satu kluster baharu yang dinamakan Kluster Jalan Pasar.
“Memandangkan masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan peniaga di sini, maka, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah mengambil keputusan melanjutkan tempoh penutupan kepada sehari lagi iaitu sehingga 9 Jun depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, MBSP mengarahkan pasar awam berkenaan ditutup selama sembilan hari iaitu antara 31 Mei lalu hingga 8 Jun depan susulan pengesahan terdapat tiga kes positif Covid-19 di situ.
Dalam pada itu, Rozali sekali lagi menggesa para peniaga atau individu yang mempunyai kontak rapat dengan peniaga di situ supaya segera menjalani ujian calitan atau menghubungi Bilik Gerakan PKD SPT di talian 04-5397884 untuk mendapatkan janji temu berkaitan.
“Mereka (peniaga dan individu terlibat) dinasihatkan memberi kerjasama sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan perundangan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) jika mereka enggan berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE