PUTRAJAYA: Klinik kesihatan awam Nanga Baoh di Batang Oya, Daerah Dalat, Bahagian Mukah, Sarawak turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, premis itu antara 15 lokaliti di seluruh negara dilaksanakan PKPD secara serentak selama 14 hari mulai Isnin.
“Ia susulan 27 kes positif dilaporkan di situ daripada ujian saringan ke atas 40 orang penghuni empat buah rumah panjang berdekatan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
“Justeru, kerajaan memutuskan PKPD turut melibatkan rumah panjang anak Umba, Tulu anak Sli, Duah anak Entingi, Balin anak Gema dan Sekolah Kebangsaan St. Luke,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga perkampungan di Bahagian Tawau, Sabah jelasnya, juga dilaksanakan PKPD iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa Blok 5 dan Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu.
Beliau menambah, sebuah lagi skim tanah rancangan kerajaan persekutuan di bahagian yang sama di negeri tersebut turut dikenakan PKPD iaitu Felda Umas 4 di Daerah Kalabakan termasuk Apartment Taman Permata, Bahagian Sandakan.
Sementara di Perak pula katanya, dua perkampungan di Mukim Ulu Kinta, Daerah Kinta, Perak juga dilaksanakan PKPD iaitu Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah selain sebuah asrama pekerja kilang melibatkan Blok A, B, C dan D milik syarikat Eco Medi Glove di Mukim Taiping.
“Di Pahang, PKPD juga bakal dilaksanakan di Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Daerah Temerloh bagi menyekat penularan keluar,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tiga lokaliti menyaksikan penamatan PKPD secara serentak mulai esok seperti dijadualkan antaranya Kampung Melikai, Daerah Kuala Penyu, Sabah termasuk kawasan kilang Silimpopon Mill dan kediaman pekerja Silimpopon Estate, Daerah Kalabakan.
“Di Pahang pula, PKPD di taman perumahan dan perkampungan sekitar Gau, Daerah Temerloh turut ditamatkan pada esok ekoran penurunan kes baharu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE