KUALA LUMPUR : Tindakan tiga lelaki menyamun sebuah klinik pergigian di Taman Melati, Setapak di sini semalam mengundang padah apabila dua daripada mereka diberkas dalam tempoh empat jam selepas kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.34 petang itu telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) klinik berkenaan sebelum video berkenaan tular di dalam laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pada mulanya tiga lelaki yang bersenjatakan parang telah masuk ke premis dengan menyamar sebagai pelanggan.
Kata beliau, suspek kemudiannya telah mengambil beberapa barang berharga milik mangsa dan klinik sebelum melarikan diri.
“Akibat daripada itu, mangsa telah mengalami kerugian lebih kurang RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, kejadian itu telah dirakam oleh CCTV di premis tersebut.
“Susulan daripada itu, kita berjaya mengesan dia lelaki berusia 30 dan 32 tahun di sekitar Wangsa Maju.
“Hasil penahanan itu, sebuah kereta serta sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut dirampas,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek telah ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Sekyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ashari berkata, gerakan memburu dua lagi rakan sejenayah suspek yang masih bebas giat dilakukan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE