Kisah kejayaan Nur Najiha tarik perhatian - Utusan Malaysia

Kisah kejayaan Nur Najiha tarik perhatian

KiSAH kejayaan Nur Najiha Najwa yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan mendapat perhatian ramai. Nur Najiha Najwa (kiri) bersama bapanya, Zul Burhan Bidin di kediaman mereka di Kampung Pida 15, Tok Pulau, Simpang Empat, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kisah kejayaan Nur Najiha Najwa Zul Burhan,18, dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun hidup serba kekurangan yang disiarkan Utusan Malaysia Jumaat lalu mendapat perhatian ramai pihak.

Setakat tiga hari berita tersebut disiarkan di Facebook Utusan Online, ia telah mendapat lebih 76,000 tanda suka dan ribuan komen positif yang menitipkan kata-kata semangat terhadap Nur Najiha selain cukup kagum dengan semangat remaja dari Kampung Pida 15, Tok Pulau, Simpang Empat, Arau itu.

Nur Najiha ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, dia terharu dengan komen-komen positif rakyat Malaysia atas kejayaan anak kampung sepertinya mendapat keputusan cemerlang walaupun berasal daripada keluarga yang serba kekurangan.

Katanya, ada juga individu prihatin turut menyampaikan sumbangan kepadanya selepas membaca berita yang disiarkan akhbar ini dan wang tersebut akan digunakan untuk tujuan menyambung pelajaran nanti.

Jelasnya, dia berasa rendah diri dan menjadikan komen-komen positif dan semangat di media sosial tersebut sebagai pendorong kepadanya untuk berusaha dalam mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang akauntan atau guru suatu hari nanti.

“Kalau boleh saya mahu sambung belajar dalam bidang akaun ataupun syariah kerana saya memang minat dalam bidang itu. Saya akan mula kemas kini di UPUOnline yang dibuka bermula 15 Jun untuk melihat universiti untuk sambung belajar. Kalau dapat dalam bidang akaun saya berharap dapat masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Guru-guru juga ada memberi panduan mengenai biasiswa-biasiswa yang boleh dipohon bagi membantu saya mencapai cita-cita dan melanjutkan pelajaran,” katanya.

Jumaat lalu, Utusan Online melaporkan, tempoh penuh mencabar terpaksa berdepan masalah capaian internet yang lemah ketika proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selain kehidupan keluarga serba kekurangan bukan penghalang kepada Nur Najiha memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Malah Nur Najiha juga tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat melihat keputusan semua 10 A bersama ibu dan bapa melalui telefon pintar.

Tambah anak kepada tukang rumah itu, dia selalu bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk solat sunat tahajjud dan menggunakan masa selepas itu untuk mengulang kaji pelajaran.

Katanya, sepanjang tempoh PdPR, dia banyak mengulang kaji pelajaran pada tengah malam kerana capaian internet yang lebih baik pada waktu itu.

Sementara itu, bapanya, Zul Burhan Bidin,49, berkata, dia terharu dengan keprihatinan dan komen-komen positif daripada orang ramai selepas berita mengenai kejayaan anak sulung itu disiarkan di dalam Utusan Malaysia baru-baru ini.

“Malah Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof juga ada datang melawat dan memberi nasihat serta bimbingan kepada dia (Nur Najiha Najwa). Beliau beritahu dengan keputusan diterima ini mungkin layak untuk sambung belajar ke luar negara.

“Bagaimanapun, kalau dapat sambung belajar di sini kami sudah bersyukur supaya tidak memberi tekanan kerana kami mahu kakak dapat membuat yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Azman yang turut melawat keluarga tersebut memberitahu, kerajaan negeri akan berusaha memberi bantuan kewangan untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan bantuan pinjaman kewangan sepanjang tempoh belajar kepada pelajar jika tidak menerima biasiswa.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya