BUTTERWORTH: Sebuah kilang pembuatan topi keledar di Sungai Dua di sini diarah tutup serta-merta dan dikompaun sebanyak RM10,000 selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh hari ini.
Malah, ketika diperiksa, pemilik kilang itu juga didapati mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kilang pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan getah dan pelitup muka semata-mata mahu beroperasi ketika PKP.
Premis berkenaan dikesan melakukan kesalahan itu semasa operasi yang dijalankan polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 11 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika diperiksa, kilang itu didapati menjalankan pembuatan topi keledar yang tidak tersenarai sebagai barangan kebenaran yang dibenarkan beroperasi.
Sehubungan itu jelasnya, tindakan penutupan dan dikompaun dikenakan ke atas kilang itu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Bagaimanapun, siasatan kita mendapati majikan kilang berkenaan mengehadkan kehadiran pekerja seramai 60 peratus seperti ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Operasi itu turut membabitkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam operasi itu, kira-kira 10 buah kilang dan premis pejabat swasta di sekitar daerah itu diperiksa pihak berkuasa bagi memastikan prosedur standard operasi (SOP) PKP dipatuhi.
Sementara itu, JTK turut mengeluarkan notis kepada majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) kerana tidak menyediakan penginapan pekerja mengikut spesifikasi ditetapkan. – UTUSAN ONLINE