JOHOR BAHRU: Sebuah kilang memproses makanan haiwan dikenakan lima notis apabila seorang pekerjanya mengalami kecederaan parah sehingga maut akibat tersepit di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir. Mohd. Rosdee Yaacob berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.40 malam ketika mangsa yang merupakan seorang operator kilang berusia 27 tahun sedang melakukan kerja-kerja di premis berkenaan.
“Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan telah selesai melakukan kerja-kerja membaiki kerosakan pada ‘loading plate guider’ bersama seorang juruteknik kanan kilang berkenaan.
“Mangsa kemudian bertindak mengambil topi keselamatan yang tertinggal di atas ‘loading plate’ yang berkedudukan statik dengan membelakangi ‘sliding plate’ yang sedang bergerak ke bawah menuju ke arah mangsa. Ini menyebabkan mangsa tersepit di antara dua plate berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rosdee, hasil siasatan awal mendapati mesin tersebut yang dilengkapi dengan adang dan peranti keselamatan digunakan untuk menyusun beg berisi produk makanan haiwan ke atas palet secara automatik.
“Mangsa yang masih tidak sedarkan diri ketika itu dibawa ke Hospital Penawar Pasir Gudang sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, namun, disahkan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam.
“Ekoran itu, lima notis dikeluarkan iaitu satu notis pembaikan agar majikan menjalani siasatan bagaimana kemalangan maut itu berlaku dan empat notis kegagalan majikan melibatkan kegagalan memastikan mesin beroperasi dengan selamat selepas aktiviti penyelenggaraan dan gagal mengadakan pengenalpastian bahaya serta penaksiran risiko dan kawalan risiko,” katanya.
Selain itu, dua notis gagal terbabit berkaitan kegagalan mengadakan prosedur kerja selamat bagi kerja penyelenggaraan dan gagal mengadakan latihan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa menjalankan kerja penyelenggaraan.
Tambah beliau, JKKP memandang serius kemalangan yang berlaku terutama melibatkan pekerja mahupun orang awam dan tindakan perundangan akan diambil kepada pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya, menganalisis dan menaksir risiko yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan langkah kawalan yang sesuai bagi mengawal risiko berkaitan.
“Ini merupakan satu daripada kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, di mana majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkenaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE