SUNGAI SIPUT: Padah mengisytiharkan operasi perniagaan sebagai perniagaan perkakasan (hardware) menyebabkan sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Sungai Siput di sini dikompaun RM10,000, hari ini.
Pemeriksaan di kilang berkenaan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota diketuai Inspektor Abdul Wahed Hamid bersama pasukan Jabatan Perhutanan Kuala Kangsar pada pukul 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semakan mendapati kilang itu beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun memalsukan jenis operasi perniagaan.
Katanya, pemilik premis berusia 70-an itu maklum atas pelanggaran SOP yang dilakukan dan akur operasi kilangnya adalah perniagaan bukan keperluan.
“Kilang tersebut merupakan kilang kayu namun pemiliknya isytihar kepada MITI sebagai perniagaan perkakasan. Lelaki itu akur dan faham yang dia telah salah guna kelulusan tersebut.
“Kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik premis manakala lapan pekerja tempatan yang berada di kilang itu pula dikompaun RM2,000 setiap seorang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, tindakan ke atas premis itu dijalankan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Katanya, bagi pekerja pula, tindakan diambil mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Selain itu, kita turut menahan 17 pekerja asing warga Bangladesh dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kilang tersebut telah diarah tutup serta-merta dan pihaknya akan memaklumkan kepada MITI bagi membatalkan kelulusan operasi kilang tersebut.
“Pihak polis sentiasa komited dalam memastikan orang ramai patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19.
“Kita sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran yang dibuat dan tindakan tegas akan diambil termasuk melakukan pemantauan berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE