Kilang kayu beroperasi secara haram, majikan ditahan - Utusan Malaysia

Kilang kayu beroperasi secara haram, majikan ditahan

PASUKAN penguatkuasa Jabatan Perhutanan Perak melakukan pemeriksaan di sebuah kilang kayu yang beroperasi tanpa lesen di Sungai Siput pada Jumaat lalu. - UTUSAN/IHSAN JABATAN PERHUTANAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang majikan bersama tiga pekerja ditahan pasukan Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Perak selepas kilang kayu miliknya didapati beroperasi secara haram di Sungai Siput pada Jumaat lalu.

Jabatan Perhutanan Perak dalam kenyataan berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 65 tahun yang mana dua daripadanya merupakan warga tempatan, manakala dua lagi warga asing.

Menurutnya, mereka ditahan semasa operasi pemantauan dan semakan kilang berasaskan kayu yang beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di sekitar Sungai Siput pada Jumaat lalu.

“Semakan yang dijalankan ke atas kilang berkenaan mendapati ia beroperasi dengan lesen kilang yang telah tamat tempoh sah dari Jabatan Perhutanan Perak.

“Lesen berkenaan tidak diperbaharui sejak 30 Jun tahun lalu dan tiada permohonan baru dikemukakan selepas daripada itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Siput (Utara) berhubung kes berkenaan dan kesemua suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan.

“Kesemua suspek boleh didakwa atas kesalahan menjalankan aktiviti kilang tanpa mendapatkan lesen yang sah di bawah Enakmen Berasaskan Kayu (EIBK). 

“Kita juga menyita empat unit pengisar kayu, empat unit mesin silo, lima longgokan kayu yang dipotong pendek serta sebuah mesin belah kayu dan mesin drum chipper dalam operasi tersebut,” katanya.

Operasi disertai Pasukan Penguatkuasa Daerah Hutan Kuala Kangsar dan Pasukan Penguatkuasa Jabatan Perhutanan negeri bagi memastikan kilang-kilang berasaskan kayu beroperasi secara sah selain mencegah sebarang aktiviti penerokaan hutan atau pembalakan haram sepanjang pelaksanaan PKP 3.0. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya