MELAKA: Dakwaan sebuah kilang di Batu Berendam dekat sini yang mengarahkan pekerjanya hadir seperti biasa walaupun sedang menjalani kuarantin dan memakai gelang merah jambu adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak kilang telah menjalankan saringan bersasar pada 4 Jun lalu di blok tujuh, lapan dan sembilan yang melibatkan 1,400 pekerja.
Jelas beliau, pihak kilang mengambil inisiatif sendiri dengan membiayai Ujian Kit Pantas Antigen (RTK Ag) dan meminta kesemua pekerja yang bukan kontak rapat hadir untuk melakukan ujian.
“Gelang merah jambu akan dipotong sekiranya keputusan adalah negatif. Pekerja juga perlu melakukan ujian RTK Ag ini setiap hari sehingga temu janji kedua ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) pada 10 Jun nanti.
“Kekeliruan ini timbul disebabkan persepsi masyarakat bahawa pemakai gelang merah jambu mesti menjalani kuarantin 10 hari. Kementerian Kesihatan mempunyai pertimbangan sendiri iaitu mana-mana bukan kontak rapat sekiranya keputusan ujian negatif, gelang akan dipotong dan mereka dibenarkan bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pengurusan kilang, semalam.
Setakat ini, seramai 398 orang termasuk ahli keluarga telah disahkan positif Covid-19.
Tambah Rahmad, kebenaran beroperasi kilang berkenaan adalah secara bersyarat iaitu perlu mensanitasi bangunan, menggunakan 60 peratus tenaga kerja, pekerja bebas kuarantin sahaja dibenarkan bertugas dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Saya dimaklumkan bangunan kilang ini telah disanitasi dan pihak pengurusan bersetuju untuk menggunakan 40 peratus tenaga kerja sahaja. Kilang ini beroperasi 24 jam dengan tiga syif dan setiap syif melibatkan 500 pekerja.
“Oleh itu, saya berpuas hati dengan perbincangan bersama PKD terhadap inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kilang. Sekiranya kes kembali meningkat, saya tidak akan teragak-agak untuk menutup semula operasi kilang ini,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE