Ketepikan perbezaan politik untuk bantu penduduk di kawasan PKPD - Utusan Malaysia

Ketepikan perbezaan politik untuk bantu penduduk di kawasan PKPD

OH Tong Keong (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada wakil penduduk yang terlibat PKPD di kawasan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mengenepikan perbezaan politik dengan menubuhkan pasukan khas bagi menangani masalah penyaluran bekalan makanan kepada penduduk di lokaliti yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil berat tentang isu bekalan makanan di kawasan yang dikenakan PKPD.

“Semua pihak perlu mengambil tindakan susulan dengan segera untuk memastikan bekalan makanan dan barang keperluan harian dibekalkan secukupnya kepada penduduk yang terkesan.

“Ini kerana kita semua sedia maklum prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan PKPD adalah penduduk di kawasan terbabit hanya dibenarkan membeli barang dan makanan keperluan harian di kedai yang berada dalam kawasan berkenaan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghulurkan bantuan makanan, keperluan asas dan pelitup muka kepada penduduk yang terlibat dengan PKPD di Bayan Lepas di sini hari ini.

Sebanyak 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12, Barat Daya dikenakan PKPD selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes positif Covid-19.

Pelaksanaan PKPD bermula 4 hingga 17 Jun itu memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk keluar dari lokaliti itu.

Menurut Tong Keong, pihaknya berharap wakil rakyat lebih peka terhadap masalah yang dihadapi penduduk setempat pada masa ini.

“Mereka harus sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan memberi bantuan kepada rakyat di kawasan mereka mengikut situasi semasa.

“Pihak berkuasa seharusnya mempunyai satu rancangan atau mekanisme yang menyeluruh sebelum masalah berlaku,” katanya.

Tambahya, Covid-19 telah melanda negara lebih daripada setahun dan wakil rakyat harus tahu langkah yang perlu diambil setelah pengumuman perintah kawalan dibuat untuk memastikan keselamatan rakyat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya