PETALING JAYA: Adalah wajar hukuman rotan berlandaskan syariah dilaksanakan kepada penagih dadah terutama membabitkan kesalahan berulang kali.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ini kerana kesalahan tersebut disifatkan sebagai berbahaya dan boleh merosakkan akal fikiran serta memberi implikasi kepada masyarakat.
Malah katanya, terdapat beberapa hadis sebelum ini memberi contoh jelas dengan membuat perbandingan hukuman peminum arak yang dikenakan 40 sebatan dengan sebab memabukkan, perkara sama boleh diguna pakai pada jenayah penyalahgunaan dadah.
“Kalau kesalahan penggunaan dadah disamakan dengan arak ia termasuk dalam kesalahan jenayah syarak kerana merosakkan akal fikiran.
“Jadi adalah wajar untuk mengenakan hukuman sebat dan dikategorikan sebagai kesalahan jenayah syariah,” katanya kepada Utusan Online.
Mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (2) akta sama, seseorang yang melakukan kesalahan berulang penagihan dadah boleh dipenjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak lebih tiga sebatan.
Dalam pada itu, pakar undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, sama ada hukuman rotan berlandaskan syariah wajar dilaksanakan atau tidak, beliau berpendapat, seharusnya setiap hukuman perlu memberi kesan positif.
“Kita boleh belajar dari negara maju atau negara yang berjaya mengekang aktiviti dadah bagaimana mereka memulihkan penagih. Sebelum kita menjatuhkan hukuman, lebih baik pengedaran dadah dihentikan terlebih dahulu.
“Sekiranya kita ingin teruskan hukuman, apakah kita sudah pasti cara melakukannya? Adakah kita mempunyai orang yang boleh melaksanakannya? Saya risau kalau kita laksanakan hukuman rotan terburu-buru, Islam juga yang akan dapat nama buruk. Ini perkara yang perlu dipersoalkan dahulu,” jelasnya. UTUSAN ONLINE