Kesal Jakim lewat keluar SOP sembelihan Aidiladha - Utusan Malaysia

Kesal Jakim lewat keluar SOP sembelihan Aidiladha

NORDIN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibidas kerana lewat mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha.

Kekecewaan itu diluahkan Group Transformasi Ruminan (GTR) mewakili lebih 10,000 penternak di seluruh negara yang kesal isu itu menjejaskan penjualan ternakan bagi penyembelihan.

“Sehingga kini, pihak Jakim dan hampir semua majlis agama Islam di peringkat negeri belum mengeluarkan SOP itu untuk Aidiladha tahun ini,” kata Timbalan Pengerusi GTR, Nordin Mat.

Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan sebagai mengulas tindakan kerajaan Johor yang secara rasmi melarang program ibadah korban di masjid dan surau di seluruh negeri itu.

Sebaliknya, aktiviti penyembelihan dan pelapahan cuma di premis berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri termasuk pengagihan kepada para peserta dan asnaf.

Kerajaan Kelantan pula dilaporkan tidak menggalakkan ibadah korban ketika perayaan itu pada bulan depan susulan penularan wabak Covid-19 yang agak kritikal di negeri berkenaan.

“Hari Raya Korban cuma tinggal 40 hari sahaja lagi, dan Jakim macam tahun lepas menjadi penentu SOP penyembelihan sebelum diikuti pihak berkuasa agama negeri,” jelas beliau lagi.

Kelewatan ini ujar Nordin, menyebabkan mereka yang ingin membeli ternakan korban berasa serba salah kerana urusan itu melibatkan surat kebenaran pejabat agama di peringkat daerah

Ia katanya, disusuli surat pengesahan daripada nazir masjid atau pengerusi surau sebelum boleh menerima permit penyembelihan daripada pihak JPV di peringkat negeri atau daerah.

Justeru keluhnya, apabila Jakim lambat mengeluarkan SOP, ia turut menyusahkan penternak dan peserta ibadah korban yang bimbang membuat tempahan dan pembayaran pembelian.

Keadaan tersebut tambah beliau, mengakibatkan sebahagian besar umat Islam di negara ini memilih untuk mengadakan ibadah itu di luar negara menerusi pelbagai organisasi tertentu.

“Ramai dilaporkan keliru dan buntu hendak beli ternakan untuk aktiviti korban dan ada yang marah Jakim sebab lembab sangat buat SOP walhal ia mudah serta tidak rumit pun,” katanya.

Dianggarkan terdapat hampir 660,000 ekor lembu dan lebih 100,000 ekor kerbau serta sekitar 320,000 ekor kambing selain 121,000 ekor bebiri yang diternak di seluruh negara ketika ini.

Walaupun JPV sudah pun menyekat kemasukan lembu dari luar negara ekoran kebimbangan penyakit kulit kental, namun permintaan ke atas ternakan tempatan sebaliknya masih rendah.

Situasi teruk itu turut diburukkan lagi dengan harga tinggi disebabkan faktor kos makanan haiwan terutama dedak yang meningkat lima kali pada tahun ini tanpa ada kawalan oleh kerajaan.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya